SHAH ALAM 24 Jan. - Kerajaan disaran memperkenalkan mata pelajaran berkaitan teknologi nano di peringkat sekolah rendah sebagai persediaan negara untuk bersaing dengan negara-negara maju kerana ia akan mengambil alih teknologi canggih yang ada sekarang.
Pemenang Anugerah Merdeka 2009, Profesor Dr. Halimaton Hamdan berkata, pendedahan pada usia muda amat penting bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja faham tentang teknologi nano tetapi memahami keperluan teknologi berkenaan dalam kehidupan manusia 10 atau 20 tahun akan datang. Beliau yang juga Pensyarah Jabatan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menambah, menerusi pendedahan itu, murid-murid dapat mengetahui pentingnya ilmu sains dikuasai hingga ke peringkat tertinggi sejajar dengan perkembangan semasa yang mungkin pada masa dahulu teknologi nano dianggap terlalu asing. ''Teknologi nano adalah ilmu yang menggabungkan pelbagai ilmu sains seperti kimia, fizik, biologi, kejuruteraan serta sebagainya dalam menghasilkan sesuatu produk menerusi penyelidikan dan pembangunan. ''Inilah teknologi pada masa depan yang memerlukan inovasi dan kreativiti tinggi," katanya ketika menyampaikan ceramah Anugerah Merdeka di Universiti Industri Selangor di sini semalam. Halimaton, 53, adalah penerima Anugerah Merdeka kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi. Pengiktirafan itu diberi berdasarkan kejayaan beliau menghasilkan 'Maerogel' iaitu sejenis 'aerogel' daripada sekam padi sekali gus mengurangkan 80 peratus kos penghasilannya.
Bahan itu mempunyai nilai komersial tinggi dan boleh diguna untuk mengurangkan suhu panas bangunan konkrit, menyerap tumpahan minyak serta pencemaran udara dan dijadikan panel kalis bom. Halimaton juga berharap sama ada institusi pengajian tinggi awam atau swasta mesti mempersiapkan sumber tenaga kerja yang dikeluarkan dapat menguasai ilmu-ilmu yang boleh membantu negara maju dalam teknologi tersebut.
Sehubungan itu, beliau memuji langkah kerajaan meluluskan penubuhan direktori teknologi nano sebagai usaha memantapkan perkembangan serta mempertingkatkan kemajuan bidang tersebut.''Kita bertuah kerana mendapat sokongan padu daripada kerajaan untuk memajukan teknologi berkenaan yang menjadi penggerak penting untuk sesebuah negara dalam abad ke-21," ujarnya. Tanpa penguasaan teknologi nano, tegas Halimaton, sesebuah negara akan terus ketinggalan dalam banyak aspek kerana penguasaan teknologi itu juga bermakna mereka berada dalam landasan yang betul bagi meningkatkan lagi sumber pendapatan negara.
Beliau berharap, golongan belia khususnya akan merebut peluang untuk menguasai ilmu dalam teknologi nano kerana ia menawarkan bidang kerjaya yang cukup banyak dan pulangan lumayan bagi mereka yang menguasainya.
Sumber: Utusan Online
No comments:
Post a Comment