INFO TERKINI

CUTI PENGGAL 1 22-30/03/14
Blog SK Clifford Kuala Kangsar: Sejarah SK Clifford Kuala Kangsar

Wednesday, January 06, 2010

Peningkatan kualiti guru keperluan mendesak


KUALA LUMPUR 5 Jan. - Peningkatan kualiti warga perguruan melalui program pembangunan profesionalisme berterusan kini merupakan keperluan mendesak, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, ia penting bagi memperbaiki kompetensi, pengetahuan dan keupayaan warga guru agar menjadi lebih dinamik.
Beliau berkata, usaha juga perlu dilakukan bagi menarik penyertaan lebih ramai individu yang berkebolehan menyertai profesion perguruan yang semakin mencabar. "Apa yang lebih penting pada laluan untuk menuju ke arah kecemerlangan pendidikan ialah kualiti para guru.
"Semua pihak tahu bahawa kualiti sistem pendidikan yang kita ada tidak boleh mengatasi kualiti yang dimiliki para guru kerana merekalah yang akan menentukan prestasi sesebuah sekolah dan pencapaian pelajarnya," katanya. Beliau berucap demikian sewaktu merasmikan Seminar Kongres Antarabangsa Bagi Keberkesanan dan Penambahbaikan Sekolah 2010 (ICSEI 2010) Kali Ke-23, di sini hari ini.
ICSEI 2010 yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia (UM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran itu berlangsung sehingga Jumaat ini dan disertai kira-kira 600 peserta tempatan dan antarabangsa.
Hadir sama pada majlis perasmian itu ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang; Pro-Canselor UM, Toh Puan Dr. Aishah Ong; Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub dan Timbalan Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Jamil Maah. Sementara itu, Muhyiddin berkata, sebagai sebahagian usaha meningkatkan kualiti guru, kerajaan telah menaik taraf semua maktab perguruan menjadi institut perguruan dan memperkenalkan program ijazah khas untuk para guru yang tidak mempunyai ijazah.
Katanya, Kementerian Pelajaran juga menggariskan beberapa strategi untuk meningkatkan tahap profesion perguruan antaranya mengetatkan proses pemilihan bakal guru, memperbaiki suasana pengajaran, mengukuhkan keyakinan diri guru dan memberikan khidmat sokongan yang berterusan.
"Dalam hal ini, kita menyediakan yang terbaik kepada para guru dengan peluang saksama untuk meningkatkan kerjaya mereka.
"Pengetua dan guru cemerlang pula diberikan peluang naik pangkat sebagai galakan kepada mereka meningkatkan prestasi dan seterusnya menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, pihaknya turut melakukan kajian semula kurikulum kebangsaan bagi memastikan ia memenuhi harapan dan tuntutan pendidikan berkualiti.
Katanya, kajian semula itu membabitkan penerapan elemen kreativiti, inovasi dan kemahiran hidup kepada aspek pengajaran dan pembelajaran.
"Ini dilakukan melalui perubahan kandungan kurikulum, organisasi, pedagogi dan pendekatan dalam bilik darjah bagi memastikannya secara efektif memperkukuhkan potensi yang kreativiti dan potensi yang dimiliki pelajar.
"Perubahan ini dijangka sesuai untuk membentuk ekonomi berasakan ilmu pengetahuan yang kejayaannya bergantung kepada potensi kreativiti dan inovasi modal insan," katanya.
Sumber: Utusan Online

No comments:

Post a Comment