INFO TERKINI

CUTI PENGGAL 1 22-30/03/14
Blog SK Clifford Kuala Kangsar: Sejarah SK Clifford Kuala Kangsar

Saturday, January 02, 2010

Kantin sekolah tidak boleh naikkan harga makanan


KUALA LUMPUR 1 Jan. - Pengusaha kantin sekolah tidak boleh menaikkan harga makanan dan minuman sewenang-wenangnya pada sesi persekolahan yang akan bermula Isnin ini ekoran kenaikan harga gula 20 sen sekilogram. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong (gambar) berkata, soal kenaikan harga makanan dan minuman yang dijual mereka tidak timbul kerana ia tidak wujud dalam kontrak perjanjian antara pengusaha kantin dan pihak sekolah.
Katanya, beliau difahamkan semua harga makanan yang dijual pengusaha kantin perlu dipamerkan, dan ia perlu mematuhi kontrak yang dipersetujui semasa pengusaha kantin itu mengemukakan tender kepada pihak sekolah. "Saya minta guru besar sekolah menguatkuasakan (harga yang ditetapkan), jangan ada pihak yang ambil kesempatan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan forum Pemuda 1Malaysia di sini hari ini. Menurutnya, kontrak yang ditandatangani antara pengusaha dengan pihak sekolah tidak menyatakan bahawa harga makanan atau minuman boleh dinaikkan selepas suatu tempoh masa dan pengusaha kantin juga tidak boleh merayu kepada pihak sekolah untuk menaikkan harga.
Ka Siong berkata, kenaikan harga gula itu mungkin ada 'kebaikan' kerana ia mungkin boleh mengurangkan pengambilan gula melampau di kalangan orang ramai demi kesihatan. "Mungkin ada hikmahnya juga, sekiranya gula dahulunya manis sangat, sekarang boleh dikurangkan sedikit, itu satu cara yang masih boleh diterima atas nama kesihatan, tapi bukan dengan menaikkan harga barang," katanya.
Harga runcit gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram iaitu RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak, berkuatkuasa hari ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment