Saya adalah salah seorang kaki tangan kerajaan. Isu CUEPACS Abaikan Lulusan Universiti tulisan Ridzuan Mahmud, Kuala Lumpur dan jawapan PTK Bukan Penentu Kenaikan Pangkat oleh Nik Noraini Nik Ya, Ketua Unit Komunikasi Korporat, Perkhidmatan Awam yang disiarkan di ruangan ini 26 Mei lalu mendorong saya meluahkan isi hati. Terlebih dahulu saya ingin mengulas tulisan Saudara Ridzuan Mahmud yang menyatakan bahawa golongan pendidik DG 41 dan DG 44 menerima arahan daripada pegawai Pejabat Pendidikan yang mempunyai gred lebih rendah. Saya sangat bersetuju. Ada ketikanya suara mereka lebih tinggi daripada kami. Kami pula kelihatan seperti kerani bergred rendah.
Sebenarnya bukan itu sahaja. Kami (golongan pengurusan dan profesional) yang berkhidmat di sekolah tidak mendapat hak yang sepatutnya seperti yang diterima oleh rakan-rakan kami yang sama kategori tetapi berkhidmat di jabatan atau kementerian. Kalau mereka boleh duduk di bilik masing-masing kerana sudah menjadi penolong pengarah sekurang-kurangnya pada gred 41 dan 44, kami di sekolah jauh sekali.
Kami duduk bersesak-sesak dalam satu bilik. Lebih 10 tahun berkhidmat pun masih lagi menjadi guru biasa. Tetapi kami tak kisah kerana ini pilihan kami. Berkhidmat untuk negara. Kenaikan pangkat rakan kami di jabatan atau kementerian juga lebih cepat berbanding kami. Kami di sekolah terpaksa menunggu lebih lama ke jawatan sekurang-kurangnya Penolong Kanan kerana kekosongan yang terhad. Oleh itu, tidak hairanlah sebahagian besar daripada kami yang pencen dengan jawatan guru biasa sahaja. Perkara ini hendak buat tak kisah pun tidak boleh juga kerana kami beranggapan kami juga berhak seperti rakan kami di jabatan atau kementerian. Berilah kami hak yang sama rata dengan rakan-rakan kami di jabatan atau kementerian.
Menteri Pelajaran sebelum ini dan Menteri Pelajaran terkini telah pun mengumumkan pertambahan jawatan Guru Cemerlang dan memperkenalkan jawatan Guru Tingkatan Enam sebagai membantu kenaikan pangkat golongan pendidik. Tetapi perkara yang berlaku tidak seperti yang dikatakan.
Pada tahun 2007, kami beramai-ramai mengisi permohonan jawatan Guru Cemerlang sebagai menyahut seruan Menteri Pelajaran. Selepas dinilai Jemaah Nazir dan mereka berpuas hati dengan prestasi kami, keputusan yang dinanti dengan penuh debaran tidak kunjung tiba. Teruk sangatkah kami ini sehingga tidak layak dilantik sebagai Guru Cemerlang sedangkan saban tahun kami melahirkan pelajar cemerlang dan ramai yang memasuki IPT? Seterusnya saya ingin merujuk tulisan Nik Noraini Nik Ya yang mengatakan bahawa PTK bukan penentu kenaikan pangkat. Terdapat syarat-syarat lain seperti kecekapan, kelayakan, pengetahuan, kemahiran dan pengalaman, sifat-sifat peribadi dan lain-lain.
Sedap hati membacanya. Tetapi kenapakah permohonan kami untuk jawatan Guru Tingkatan Enam ditolak kerana semata-mata telah dilantik ke DG 44, dan tidak atau belum mempunyai keputusan DG 44 pada aras III atau IV, sedangkan kami telah mempunyai pengalaman dan pengetahuan mengajar kelas tingkatan enam lebih daripada 10 tahun. Saya terkilan rakan DG 41 yang baru tiga tahun mengajar tingkatan enam (syarat permohonan tiga tahun mengajar tingkatan enam dan lulus PTK) telah dilantik ke jawatan ini dan diberikan kenaikan ke DG 44. Dengan kata lain, guru yang baru posting pada tingkat DG 41 dengan mudahnya dinaikkan ke DG 44 hanya dalam tempoh tiga tahun. Bukan iri hati tetapi di manakah logiknya?
Kami yang baru dilantik ke DG 44 awal tahun ini setelah melalui time base selama 10 tahun diketepikan oleh kerajaan. Kami diminta memohon semula selepas lulus PTK DG 44 yang akan diambil pada Ogos nanti. Lantikan mungkin akan hanya dibuat pada tahun hadapan. Itu pun kalau kuota 5:3:2 di sekolah masih belum dipenuhi. Kalau kuota DG 48 Guru Tingkatan Enam sudah dipenuhi alamat gigit jarilah kami.
Pada peringkat permulaan ini semua guru yang sedang mengajar tingkatan enam masih dibenarkan mengajar tingkatan enam sehingga 2011. Selepas itu apakah nasib kami apabila kami tidak dilantik tetapi telah mengajar pelajar tingkatan enam berbelas tahun lamanya? Malah ada dalam kalangan kami merupakan pemeriksa kertas STPM. Tidakkah ini merugikan? Bukan kenaikan DG yang kami rebut tetapi minat kami yang lebih mendalam untuk mengajar pelajar tingkatan enam ini harap dipertimbangkan.
Jangan jadikan jumlah kami yang ramai ini sebagai alasan untuk menidakkan hak kami. Mohon Menteri Pelajaran membantu kami merungkai masalah ini.
Guru Menanti
Bukit Mertajam
Sumber:Utusan Online
No comments:
Post a Comment