Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, ADaP juga boleh dianggap sebagai wahana terbaik untuk menyalurkan pelbagai maklumat dan peristiwa yang berkaitan dengan isu pendidikan semasa.
Katanya, melalui ADaP.com.my, pengguna berdaftar berpeluang menghantar karya, bahan pengajaran dan pembelajaran serta cetusan idea kreatif ke ruangan forum untuk dikongsi bersama-sama dengan mereka yang mengakses laman tersebut.Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa ADaP mampu melahirkan pelajar yang mempunyai ciri-ciri intelektual dan kepimpinan unggul, bertanggungjawab, mengamalkan budaya bekerjasama dan berkongsi maklumat."Para pelajar khususnya, dapat mengasah bakat melalui aktiviti yang dirancang secara komprehensif dan bermakna. Aktiviti ini juga mampu melahirkan pelajar yang celik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan dapat mengaplikasikan pengetahuan mereka secara sihat.
"Secara tidak langsung, ADaP berkeupayaan memperkasakan bidang kurikulum sebagaimana dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran,'' katanya.Beliau berkata demikian semasa melancarkan ADaP.com.my/E-Lab Negeri Pahang anjuran Kumpulan Utusan sempena perayaan Hari Guru peringkat kebangsaan 2010 di pusat beli-belah East Coast Mall (ECM) di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad dan Ketua Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim.Abdul Aziz berkata, ADaP.com.my/E-Lab menyediakan ruangan interaktif yang memuatkan permainan menguji minda seperti teka silang kata, menyusun perkataan, klik dan seret serta banyak lagi.
Jelasnya, ADaP sangat berkesan sebagai medium yang memberikan informasi pendidikan kepada pelajar dalam usaha mereka berlumba-lumba untuk menempa kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Laman web itu juga, katanya, amat sesuai sebagai instrumen untuk aktiviti masa senggang pelajar seiring dengan kehidupan zaman siber dan penggunaan jalur lebar yang menjadi pilihan generasi masa kini.
"Penglibatan melalui penggunaan medium atas talian ini mampu mendidik mereka untuk mengungkapkan bahasa dengan baik dan mematangkan diri dalam mendepani dunia tanpa sempadan,'' katanya.
Tambahnya, langkah Utusan Malaysia mewujudkan ADaP bukan sahaja merintis pembaharuan dalam menyediakan input ilmu dan kemahiran berkarya, malah dapat melahirkan generasi yang celik ICT dan mempunyai 'soft skill' yang tinggi.
"Dalam konteks pendidikan, Utusan Melayu telah memainkan peranan sebagai badan swasta yang memenuhi tanggungjawab sosialnya sekali gus bersama-sama Kementerian Pelajaran meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar dalam era globalisasi yang mencabar ini," katanya.
Sumber: Utusan Online
No comments:
Post a Comment